loading...
Kalau korang ni kaki wayang, mesti korang pernah tengok filem Black Hawk Down yang diterbitkan pada tahun 2001. Ia berdasarkan kisah benar tentang operasi menyelamat tentera Amerika Syarikat yang terkepung semasa melakukan operasi di Somalia.
Tapi yang tak besnya, filem ni hampir keseluruhannya hanya memaparkan penglibatan tentera Amerika je, tak sebut langsung tentera Malaysia yang turut terlibat. Jadi melalui penulisan ni, kita mengupas mengenai kisah sebenar jasa tentera kita dalam pertempuran tu.
Penglibatan Malaysia sebagai pasukan pengaman PBB
Pasukan tentera kita ni agak aktif sebagai tentera pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dari tahun 1960, Malaysia pernah pernah pergi ke 35 buah negara seperti Congo, Lubnan, Sahara,Uganda dan Senegal dengan melibatkan sejumlah 29000 anggota polis serta tentera. Ini termasuklah menghantar pasukan Malaysian Battalion (MALBATT-1) ke Somalia dalam usaha menjaga keamanan negara tersebut.
Amerika Syarikat menghantar pasukan tentera ke Somalia
PBB yang melihat situasi di Somalia semakin buruk meminta negara anggotanya untuk menghantar lebih bantuan dan ini dipersetujui oleh Amerika Syarikat (AS) dengan menghantar seramai 25 ribu orang tentera.
Operasi ni dinamakan sebagai Operation Restore Hope yang bertujuan untuk memantau penghantaran bekalan makanan dengan selamat. Tak lama selepas keadaan di Somalia mula stabil, Presiden Amerika Syarikat yang baru Bill Clinton pun mengurangkan kehadiran tentera dorang dan minta PBB mengambil alih operasi kemanusiaan di sana.
Sebaik saja PBB ambil alih operasi kemanusiaan pada Mac 1993, PBB membuat rancangan untuk membina kembali Somalia, memastikan rakyat Somalia mematuhi peraturan dan memilih kerajaan baru. Operasi ini dinamakan sebagai UNOSOM-2.
Bill Clinton pada Jun 1993 memerintahkan tentera AS dikurangkan kepada 1200 orang di Somalia dan mimpi buruk kembali melanda apabila 24 orang tentera Pakistan dibunuh oleh pemberontak semasa membuat pemeriksaan tempat simpanan senjata militia. Pembunuhan tentera Pakistan ini dikatakan didalangi kumpulan militia yang diketuai oleh Mohammad Farrah Aidid lantas AS menawarkan ganjaran 25 ribu dollar untuk menangkapnya.
Kemudian PBB dan AS melancarkan melancarkan beberapa serangan di Mogadishu untuk membunuh Aidid. 4 orang wartawan Barat malangnya terkorban oleh kumpulan perusuh semasa cuba membuat liputan serangan tersebut. 8 Ogos 1993 kemudian, 4 orang polis tentera AS lagi terkorban akibat letupan periuk api dan 6 orang tentera cedera dua minggu kemudian.
Operasi pemburuan Mohamad Farrah Aidid
Disebabkan kes pembunuhan ke atas tentera pengaman PBB dan orang awam, PBB meminta AS untuk menghantar pasukan elit Delta Force dan Army Rangers. Pada 3 Oktober 1993, AS mendapat maklumat bahawa Aidid akan bermesyuarat di sebuah bangunan 2 tingkat bersama orang bawahan dia yang terletak di Bakara Market.
Serentak dengan tu, pasukan Delta Forced dan Army Rangers dihantar bersama helikopter AH-1 Cobra, UH-60 Black Hawk dan Little Birds. Delta Force ditugaskan untuk menyerbu bangunan untuk menangkap Aidid dan orang bawahan dia manakala Army Rangers ditugaskan untuk mengawal keselamatan di luar bangunan. AS memandang mudah operasi ni apabila menjangka ia dapat dilakukan dalam masa 30 minit bermula 3 petang. Sikap memandang rendah ini akhirnya membawa bencana besar.
Helikopter memulakan serangan ke arah bangunan tu dengan melancarkan peluru berpandu menyebabkan keadaan menjadi panik di kalangan penduduk. Dalam serbuan tersebut seramai 24 orang berjaya ditahan, tapi kelibat Aidid langsung tidak kelihatan. Orang bawahan Aidid yang berjaya ditahan dibawa keluar menggunakan trak. Disebabkan orang tahanan terlampau ramai, separuh pasukan elit ni terpaksa berjalan kaki sambil mengawal keadaan.
Tak lama selepas serangan tu, penyokong Aidid bersama penduduk tempatan yang lengkap bersenjata melancarkan serangan balas. Dorang menyasarkan helikopter Black Hawk dan berjaya menembak helikopter pertama dengan roket RPG sehingga terhempas. Pemandu dan pembantu juruterbang helikopter tu mati dan serangan itu mencederakan 5 orang tentera dan tak lama kemudian seorang mati sebab cedera parah. Pasukan elit yang terselamat masa helikopter tu terhempas malangnya dikepung oleh orang bawahan Aidid.
Malang pasukan tentera AS berterusan apabila Black Hawk kedua pun turut terhempas selepas ditembak roket RPG semasa menuju ke tempat helikopter pertama terhempas, dan juruterbang tersebut ditawan oleh anggota militia.
Pasukan elit yang lain diarahkan menyelamatkan kawan-kawan dorang yang cedera, tu di tapi nak pergi ke kawasan tu je dorang menerima tembakan bertalu-talu menyebabkan perhubungan antara Army Rangers dan Delta Force terputus dan terpisah kepada beberapa kumpulan kecil.
Kumpulan bantuan pasukan elit yang ditugaskan sampai di kawasan helikopter pertama terhempas, tapi kemudiannya dikepung oleh geng Aidid yang semakin ramai.
Menjelang malam, seramai 90 pasukan elit tersebut terpaksa mempertahankan diri walaupun kekurangan peluru dan tentera yang cedera semakin bertambah. Lebih memilukan, ada anggota tentera AS yang terbunuh telah diseret oleh penduduk tempatan di sepanjang Bakara Market.
Keadaan yang semakin buruk menyebabkan AS terpaksa meminta bantuan pasukan pengaman Malaysia dan Pakistan. Tentera Malaysia ditugaskan untuk menyediakan kereta perisai Condor manakala tentera Pakistan ditugaskan membawa kereta kebal.
Kisah sebenar jasa tentera Malaysia
Pasukan MALBATT-1 bersiap sedia untuk menyertai misi menyelamat selepas mendengar insiden tentera elit Amerika terperangkap semasa melakukan operasi. Untuk mengetahui kisah daripada pengalaman tentera Malaysia, kami banyak merujuk buku penulisan Syed Othman Syed Omar bertajuk 19 RAMD Mekanis di Somalia (1995).
Pegawai Pemerintah MALBATT-1, Kolonel Abdul Latiff telah memilih seramai 11 pegawai dan 102 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) untuk terlibat melakukan operasi dengan tentera Amerika dan Pakistan. Tentera Malaysia sangat bersemangat untuk menyertai operasi tersebut walaupun berdepan kemungkinan pulang menjadi mayat.
Salah seorang anggota yang terlibat, Leftenan Kamal bertindak selaku ketua platun terpaksa memilih anggota yang dibawanya kerana tidak semua anggota akan terlibat.
“Saya hendak pergi bertempur, siapa yang hendak menuruti saya biar kita pergi dan mati sekali. Kalau kita dapat balik, bertuahlah!” Dipetik daripada 19 RAMD Mekanis di Somalia.
Lt. Kamal pada mulanya hanya mahu membawa anggota yang bujang saja mengikuti operasi tersebut, tetapi anggota yang telah berkahwin membantah kerana berpendapat anggota bujang masih kurang berpengalaman.
Konvoi operasi menyelamat ni dibahagikan kepada 3 kumpulan:
- Team Charlie (Kompeni A) diarahkan menyelamatkan juruterbang helikopter kedua yang terhempas
- Team Alpha (Kompeni B) ditugaskan untuk menyelamatkan anggota Rangers yang terkepung dan krew Black Hawk pertama yang terhempas
- Team Bravo yang merangkumi anggota Rangers ditugaskan membantu kedua-dua pasukan tersebut.
Operasi menyelamat yang menguji keberanian tentera Malaysia
Mengikut perancangan operasi tersebut, tentera Pakistan akan mendahului pergerakan diikuti Team Alpha, Charlie dan Bravo. Tapi pada separuh jalan, tentera Pakistan berpatah balik disebabkan tiada alat penglihatan malam. Masa tentera Pakistan ni berpatah balik, dorang berada kat kawasan luar killing zone.
Tentera Malaysia walaupun tidak mempunyai alat penglihatan malam, tetap meneruskan operasi tersebut. Ketiga-tiga konvoi ini berpecah mengikut kumpulan masing-masing selepas sampai di check point Strong Point 207 mengikut tugas yang diberikan.
Tak lama lepas tu, anggota konvoi Alpha telah diserang anggota kumpulan Aidid menyebabkan dua buah kereta perisai rosak teruk dan mencederakan anggota 5 orang anggota termasuk seorang cedera parah yang kemudiannya dirawat oleh seorang anggota Rangers. Pada masa itu, kereta kebal milik tentera Pakistan telah pun meninggalkan kawasan pertempuran.
Walaupun menerima serangan yang bertali arus, tentera Malaysia meneruskan pergerakan ke lokasi anggota Rangers yang terperangkap. Sebaik sahaja sampai, anggota Rangers yang cedera dimasukkan ke dalam kereta perisai manakala yang telah meninggal diletak atas kereta perisai. Kumpulan Alpha ni kemudian bergerak menuju ke lokasi helikopter terhempas untuk mengambil mayat krew helikopter yang telah meninggal.
Konvoi Charlie pula terdiri daripada 3 platun diketuai Mejar Ab. Aziz Ab. Latif bergerak menuju ke lokasi helikopter turut menerima serangan berterusan sehingga 3 anggota tentera cedera selepas keluar dari kereta perisai.
Selepas tu puak pemberontak menembak roket RPG ke arah kereta perisai sehingga menembusi pintu kiri, menyebabkan seorang anggota cedera. Kemudian kereta perisai kedua turut menjadi sasaran apabila roket menembusi cermin hadapan dan membunuh pemandu, Prebet Mat Aznan dan mencederakan seorang lagi anggota.
Komander MALBATT-1 kemudian menghubungi Mejar Ab. Aziz dan diarahkan berundur tetapi ditolak memandangkan tentera AS masih terperangkap di lokasi helikopter terhempas. Mej. Ab. Aziz kemudian mengarahkan Platun 1 bergerak terus ke hadapan bagi menggantikan Platun 2 yang hanya tinggal 2 kereta perisai yang masih elok.
Akhirnya selepas menerima serangan yang beterusan, Mej Ab. Aziz menghubungi Kapt. Zawawi bagi membincangkan plan berundur bersama Ketua Kompeni Rangers Capt. White Stone. Dorang membuat perancangan berundur selepas mendapat maklumat ada sebuah kereta perisai milik negara pengaman lain 1000 meter dari tempat dorang berlindung.
Anggota dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu anggota Rangers berada di hadapan, anggota Rangers yang cedera dan MALBATT-1 berada di tengah dan di belakang anggota Rangers lain. Semasa proses pengunduran tu, kumpulan dorang sekali lagi diserang dan terpaksa bertahan selama sejam sebelum kumpulan platun 3, Kompeni A datang membantu. Konvoi tu berjaya sampai ke Stadium Mogadishu iaitu kem tentera Pakistan menjelang subuh.
Pertempuran yang meragut banyak nyawa
Di pihak tentera Malaysia, hanya seorang tentera saja yang meninggal iaitu Pbt. Mat Aznan B. Awang dan mencederakan 9 yang lain. Manakala pihak AS seramai 18 orang tentera elit dorang terkorban masa petempuran tersebut dan mencederakan 84 orang. Walaupun tiada rekod rasmi jumlah puak militia dan penduduk awam Somalia yang mati masa pertempuran tu, dijangka beratus-ratus nyawa telah melayang.
Pertempuran yang memakan masa hingga 17 jam ni menjadi pertempuran yang memalukan bagi pihak AS selepas Perang Vietnam hinggakan Presiden Clinton mengarahkan tentera dorang berundur dari Somalia. Apa yang berlaku semasa Perang Vietnam nampaknya masih tidak menjadi pengajaran buat AS apabila memandang rendah ancaman puak militia ni.
Penghargaan buat pasukan MALBATT
Selepas insiden pertempuran tu, Pbt. Mat Aznan yang terkorban telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa serta dinaikkan pangkat kepada korporal. Mej. Ab. Aziz pula dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani bersama dengan anggota lain yang terlibat dalam operasi tersebut.
Cukup membanggakan apabila buat kali pertama pegawai ATM dipilih menjadi force commander UNOSOM-2 iaitu Jeneral Abu Samah selepas PBB melihat keupayaan dan keberaniaan tentera Malaysia masa pertempuran tersebut.
Hanya pada tahun 2013 iaitu 20 tahun selepas insiden pertempuran yang meragut banyak nyawa tu barulah AS mengiktiraf sumbangan besar Malaysia apabila Pemangku Penolong Setiausaha Negara Biro Hal Ehwal Politik Tentera AS, Tom Kelly secara rasmi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan ATM khususnya.
Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian dan keberanian anggota keselamatan negara walaupun dalam filem Black Hawk Down sumbangan tentera negara kita tidak ditonjolkan. Fakta dan sejarah sebenar tidak dapat ditutup dengan menerbitkan filem dan umum tahu AS suka menonjolkan kehebatan tentera dorang sendiri dengan mengabaikan fakta penting.
loading...