loading...
"Abang minta maaf, abang tak mampu melupakan dia," kata suami.
"Pergilah abang, pergilah kepadanya. Adik angkat yang abang sayang dan cinta," kataku.
Hadirku memutuskan silaturrahim kalian. Yang aku percaya kau memang ikhlas ingin melupakannya. Ternyata hanya bicara manismu.
Sepuluh tahun bersama denganmu, dalam tempoh itu juga aku ditipu dan kau merahsiakan cinta terlarang itu. Di depan aku, engkaulah malaikat. Tetapi di belakang, engkau syaitan terlaknat.
Aku benci kau kerana menipuku. Sepuluh tahun aku diperbodohkan dan dipermainkan hati dan perasaan.
Hari itu, hari terakhir buat kita. Saat kau bawa cinta hatimu bertemu dengan aku, syukur Allah telah memberikan aku kekuatan. Tanpa rasa malu dan segan, apatah lagi rasa bersalah, kau lafazkan kata-kata itu. Kata-kata keramat itu sambil menggenggam erat jari jemarinya.
"Abang ceraikan Syira dengan talak satu..."
Tiada air mata, tiada tangisan. Hanya aku yang tersenyum menatap wajah kamu berdua bersilih ganti.
"Semoga jodoh kamu berdua sampai ke akhirat..."
Kini sudah lima bulan berlalu. Kau masih setia mengirimkan hadiah dan bunga untukku. Baru lima bulan sejak kau ceraikan aku. Di mana cinta hatimu? Sungguh, hatimu mudah berubah.
Telah banyak kali aku tukar nombor telefon, tetapi kau tetap berjaya mendapatkannya. Hingga aku akhirnya terpaksa berpindah tempat kerja.
Baru aku sedar, meroyan bukan hanya pada isteri selepas bersalin. Tetapi juga pada suami yang menyesal kerana menceraikan isterinya tanpa alasan yang munasabah.
Jadilah suami yang bijak, bukan yang diperbodohkan dek kerana nafsu. Isteri yang tidak punyai apa-apa kesalahan, kau ceraikan begitu saja. Sudahnya kau juga yang gila.
Buat kau, bekas suamiku, tiada tempat lagi buatmu di hati ini. Waima kau sanggup menunggu untuk sepuluh tahun lagi. Lidahmu bercabang, aku takkan percaya lagi dan usah sesekali bermimpi.
Sekarang aku lebih bahagia begini, hidup sendiri tanpa hati disakiti. Tolong jangan ganggu aku lagi.
loading...